Tuesday, 15 March 2011

Analisa Artikel Kesan Kebiadaban Dunia Siber

            Apabila isu penyalahgunaan internet hangat diperkatakan, saya amat bersetuju dengan kenyataan Dr. Rahmat Ghazali di dalam artikel beliau yang bertajuk ‘Kesan Kebiadaban di Dunia Siber’ bahawa “kebebasan siber telah disalahertikan oleh sebahagian besar penguna internet”. Kita dapat lihat sendiri impak negatif terhadap masyarakat negara kita khususnya golongan remaja akibat tiadanya sekatan daripada pihak kerajaan berhubung dengan penyalahgunaan kebebasan menggunakan internet. Kes seperti seks bebas adalah contoh perbuatan yang sering dikaitkan dengan kesan Internet di mana pelaku tersebut berkemungkinan dipengaruhi oleh kandungan-kandungan yang boleh merosakkan minda mereka.
Selain daripada itu, sifat ingin tahu atau musykil yang terlalu tinggi juga boleh mendorong mereka untuk mencuba apa yang dilihat atau dibaca di Internet terutamanya bahan-bahan yang berunsurkan pornografi yang kemudian juga boleh menyebabkan terjadinya kes yang lebih teruk seperti pembuangan bayi yang seperti diketahui ramai semakin menular di negara kita.  
Menurut Dr. Rahmat di dalam artikel beliau juga, pada awalnya usaha kerajaan yang membenarkan kebebasan pengunaan Internet adalah “untuk mengutamakan pencambahan maklumat, ilmu dan idea” bagi mengalakkan dan membolehkan masyarakat kita untuk berdaya saing seiring dengan kemajuan dunia sejagat khususnya dari aspek teknologi. Tapi sebaliknya telah berlaku dimana usaha baik kerajaan telah disalah tafsirkan kerana kita tidak dapat menafikan rakyat kita lebih cenderung dan gemar menggunakan internet sebagai medium untuk melepaskan perasaan atau menyuarakan pendapat mengenai sesuatu isu tetapi secara tidak beretika.  Mereka sering menggunakan bahasa-bahasa yang kesat ataupun mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mungkin berbau fitnah ataupun pembohongan.
Perkara ini sering  berlaku dalam isu yang berkaitan dengan politik seperti yang telah dipraktikkan oleh Raja Petra di mana dia telah mengutuk pihak kerajaan secara umum di blognya. Dia juga telah meletakkan maklumat-maklumat yang dianggap sulit dan sensitif oleh pihak kerajaan tanpa memberitahu sumber atau kesahihannya untuk tantapan awam.
Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab harus mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengawal penggunaan internet secara berleluasa di negara kita. Ini adalah untuk menjaga keharmonian dan perpaduan rakyat di Malaysia.